Makan-Makan Merdeka

Sebab, kita merdeka bukan macam burung. Kita ada Tuhan ikat kita


Kami membuat keputusan untuk keluar rumah dan pergi mencari makanan memandangkan eletrik yang tiada lagi-buat kali ke lapan belas untuk minggu ini. Tambah memeritkan, kami baru sahaja selesai program dan ketika itu perut memang sudah berbunyi kuat. Tiada air dan tiada eletrik, kami membuat keputusan untuk keluar. 

Dengan jumlah 2 pound, kami sampai ke tempat yang bersama setujui untuk pergi. satu pound dari Enppi menuju Syare' abas aqod dan menukar jalan menuju ke City Star melalui Syare’ Maqrom. Sebenarnya sebelum memutuskan untuk pergi ke mana, kami berselisih. Ada yang memberi pandangan, tidak sesuai pergi ke tempat seperti City Star kerana kami baru sahaja selesai berprogram. Tidak sanggup kami kehilangan input dua hari untuk pergi ke tempat seperti itu hanya untuk menjamah. 

Namun akhirnya ke situ juga kerana di situ sahaja tempat yang ada minuman serta makanan. Kecuali gerai asia, kedai arab memang tidak menyediakan minuman. 

"1000 kali istghfar sebelum pulang dari City Star!" Saya mengingatkan ahli rumah kami ketika sampai di City Star. Memang, seribu kali pun tidak cukup. Gila betul bawa bujang lima orang ini pergi ke City Star pada malam selesai program. Cari nahas namanya! 

Nahas pakaian arab dan perempuannya. Rasanya anda serba maklum City Star itu apa tempatnya. Jika pergi untuk melihat yang 'lain rupanya', maka di sinilah tempatnya. Jika berpeluang, yang kuning rambutnya juga ada di sini.

Foodcourt  di bawah penuh, saya mengajak mereka ke atas. Mungkin lebih lengang rasa saya. 

Tekaan saya separa meleset. Masih juga penuh, tetapi kami dapat juga meja di tengah kesibukan arab. Cuma berbanding di bawah, foodcourt  di bahagian atas kurang pilihan. 


Memerhati sekeliling 


Saya memerhati sekeliling. Pertamanya memerhati apa yang saya ingin makan malam ini. Target locked!  Dalam tiga-empat pilihan malam ini, saya memilih untuk makan yang itu. Lagipun, kedai itu tidak sesak berbanding lain.

Keduanya, saya melihat arab di sekeliling. Malam itu, saya amati arab yang bersesak-sesak itu, apa yang mereka pakai dan apa yang mereka makan dan apa yang mereka bualkan. Entah mengapa, mungkin kerana dalam kepala ini terlalu banyak benda yang difikirkan atau mungkin rasa cakna dalam diri yang terlalu kuat hasil dua hari berprogram, muncul rasa ‘lain macam’ pada arab yang lalu-lalang di situ.

Lima orang sudah berada di meja bersama makanan masing-masing.

“Pelik betul lihat arab Mesir ni. Macam tiada apa yang berlaku di negera jiran sebelah mereka. Apa yang mereka fikir?”

Rupanya, bukan saya sahaja yang ada rasa sebegitu. Lima orang lain juga tentu perasan tahap sensitiviti arab mesir pada negara jiran mereka.

“Apa yang mereka fikir ya, berseronok sakan di sini?” satu soalan terakhir dilontarkan sebelum satu suapan dijamah menghilangkan lapar perut yang berbunyi semenjak petang tadi.


Negara kau merdeka?


Melihat arab yang sangat gembira bersama kawan, keluarga dan makanan mereka, pasti akan menimbulkan satu perasaan jelik dalam hati. Apa kau tidak rasa apa-apakah? Apa kau tidak tahu apa terjadi di negara sebelah kau?

Kami beredar dari meja menuju ke tingkat bawah untuk pulang. Ingin sahaja kami mengambil makanan lebihan dari meja arab yang makan sebelah kami. Seolah tidak diusik sahaja makanan itu, tetapi tidak mengapalah. Kami tidaklah terlalu lapar. Lagi-lagi, di luar City Star nanti kami akan minum-minum gelas besar tebu. Kenyanglah nanti.

Sempatlah menyinggah di kedai-kedai yang ada di dalam City Star. Alang-alang menyinggah, tak salah menjenguk sekadar di tingkap.

“Rasa seperti apa yang kita dengar masa program dua hari ini tidak realiti lansung. Memang terasa mustahil nak mengubah dunia dengan umat yang sebegini ramai, yang rasa seperti merdeka tetapi dijajah teruk..” kata salah seorang dari kami sambil menunjuk-nunjuk arab mesir yang ramai itu, sebelum menyambung.

“Apa kita boleh buat?”

Saya memerhatikan sahaja kawan saya yang berada di dalam kedai Apple. Soalan itu saya dengar sahaja, soalan praktik.

“Sebab tak merdeka diri, itu yang tak merdeka negara.” Saya menjawab dan saya kembalikan dengan soalan.

“Kau agak, mana dulu? Merdeka diri dan individu dahulu atau merdekakan negara baru merdekakan orang dalam negara? Atau automatik jika kita merdekakan negara, semua yang ada dalam negara diiktibarkan sebagai individu yang merdeka?”

Pandangan kami teralih pada kawan kami yang kembali dari kedai. Dia berlenggang kerana tidak membeli apa-apa. Yang berada bersama saya, sekadar mengangkat kening dan ada juga senyum nipis. Jawapannya maklum kerana itu mereka senyum.

Semua setuju untuk pulang selepas menjenguk beberapa buah kedai juga kerana tiada hajat lagi di situ.

Mungkin juga kerana kami tidak tahan dengan kejelikan arab yang ketat-ketat pakaiannya dan tidak merdeka pemikirannya. Mungkin…


Nawfal ahmad
8 Ogos 2014 
Syare tohir gazairi




Comments

Popular Posts