Risensi - Rindu, Tere Liye


1) Kenapa?

Aku mengenal Tere liye sedikit lewat. Ramai orang post pasal dia di semua tempat barulah aku kenal. Jadi aku berminat dan bertanya pada seorang kenalan rapat apakah novel tere liye yang paling patut aku baca. Satu sahaja untuk aku hukum (judge) awal. Dia kata mulakan dengan Rindu. Aku syak Hafalan Sholat Delisa, tapi dia menyuruh buku ini dahulu.

Baik, aku beli di pesta buku dan membaca perlahan-lahan selama tiga minggu.

2) Komen awal

Bukan senang untuk menghabiskan novel 544 halaman dengan pergerakan cerita yang amat perlahan, latar yang berulang, dialog yang berulang dan konflik atau tema yang tak jelas. Pada 100 halaman terakhir barulah muncul segala apa yang mahu diceritakan. Barulah kita tahu kisah sebalik bagi Gurutta, Ambo Uleng, Daeng Andipati dan Mbah kakung.

Juga sukar untuk kita meletakkan fokus. Siapa watak utamanya? jawapan paling selamat adalah Anna. Kerana yang menjadi penghubung antara semua ini adalah Anna. Boleh jadi Gurutta, kerana dia menyelesaikan semuanya, atau Ambo juga. Kerana pada soalan terakhir, dialah yang mempu menjawabnya.

Itu komen awal. Bagi peminat novel yang laju, malah sederhana, aksi, atau yang berbelit plotnya, pasti mereka tidak tahan dengan perjalanan cerita ini. Ada beberapa sahaja keadaan yang grafnya sedikit naik. Seperti kehilangan Anna, kematian, kehilangan Ambo, Daeng diserang, dan kapal yang kerosakan. Ya, ini semua membantu dalam menjayakan konflik dalaman beberapa karekter. Contoh seperti kerosakan kapal, ia membantu Ambo mengeluarkan siapa diri dia yang sebenar. Beberapa konflik yang muncul sekejap-sekejap seperti tidak memadai bagi novel setebal 544 halaman.

Perlahan dan berulang tetapi semua yang perlahan itulah yang membentuk apa ada yang dibelakang. Seolahnya, demi mewujudkan empati dan demi memasukkan kita ke dalam tokoh-tokoh ini, kita dibiarkan dalam perjalanan 544 muka ini, perlahan dan berulang. Akhir-akhir kemudian, barulah ada 'cerita yang sebenar'

3) Habis, apa yang menariknya?

 Ia perlahan namun kemas. Pilihan katanya cukup, tidak ada perkataan yang perlu disemak kamus. semuanya sederhana pada saat dia menerangkan watak, latar laut dan matahari dan dialog yang tidak terasa panjang. Perlahan-lahan ini yang menanam bibit suka pada novel. Teknikalnya, novel ini tidak menarik, akan tetapi ayat, dialog dan nasihatnya membuatkan kita berasa tenang dan masuk ke dalam hati kita perlahan-lahan.

Harus dipuji adalah perkembangan watak. Semua berkembang dengan baik. Boleh dikatakan semua wataknya bulat, ada sisi menarik bagi mereka. Cerita ini perkembangan watak. Ia adalah cerita mengenai watak, dia fokus pada mereka tanpa mahu serabutkan novel ini dengan sirat plot.

Aku juga rasa novel ini disukai kerana hujungnya. Dengan aksi yang ditiru sebijik kisah Captain Philips , juga kisah cinta Ambo yang ditiru persis My Sassy girl , ya sedikit ciplak di situ namun masih menarik. (kantui kau Tere)

Ia falsafah kehidupan tentang cinta dan kehidupan. Kerinduan dan kesedihan dalam diri diubah dengan menilai semula cara fikir. Perasaan yang ada dalam hati setiap manusia itu ada dan diselesaikan atas kapal haji ini. -- Nawfal



4) Tambah-tambah

- Anna yang comel.

- Unsur journey Tarbiah pendidikan anak yang harus sekali dipuji.

- Merdeka di saat akhir kapal yang mengubah Sergeant Lucas.

- Latar kapal dan laut menuju haji yang kreatif. ini juga harus dipuji.

- Aku belajar menulis perlahan-perlahan dari novel ini. Ayat tidak perlu bombastik. cukup dengan sederhana tetapi memasuki hati pembaca dengan baik.







Comments

Popular Posts