Certot : Imtihan di Negara Arab

Nota : Ketika ini tahun satu, sem kedua. Madah tak ingat.

Suasana di luar dewan peperiksaan hari itu sarat, penuh dengan kepelbagaian jenis pelajar yang berbincang sebelum masuk ke dalam. Suhu pula panas-panas begitulah. Alhamdulillah, turun sedikit berbanding dua tiga hari sebelum. Cuma yang menambahkan gawat, apabila pak cik yang menjaga pintu dewan terlambat (ataupun memang sengaja?) membuka pintu dewan. Jika tidak, biasanya tidaklah seramai ini.
Saya duduk di bawah pokok bersama bingit pelajar Azhar, mengulang kaji mana yang sempat. Namun tidak berapa masuk kerana hari ini, hari yang ‘istimewa’ bagi saya -menunggu kawan membawakan kad pelajar (kerneh) yang tertinggal di rumah.
Percayalah, ini kali pertama dan terakhir itu berlaku. Saya bukan jenis yang biasa tertinggal kad pelajar. Maka apabila berlaku seperti ini, kecut juga perut saya dibuatnya. Lagi, kawan yang manjadi harapan saya itu, datang tidak begitu awal.
Pintu dewan akhirnya dibuka. Berbondong-bondong pelajar masuk. Di luar, keadaan masih tidak banyak berubah kerana pelajar yang sudah selesai menjawab di sesi sebelah pagi masih belum beredar. Berbincang entah apa, mungkin kerana soalan susah ataupun formatnya berbeza. Azhar memang begitu sukar dijangka.
Dalam hati, sempat lagi saya mengumpat mereka. Pelik! Kenapalah perlu berbincang selepas menjawab peperiksaan? Kan lebih baik jika selesai menjawab terus pulang dan bersedia untuk kertas seterusnya. Ini tidak. Usai sahaja periksa, mereka terus membuka buku untuk menyemak malah membandingkan jawapan antara mereka. Kental emosi mereka. Mungkin.
"Kau tadi bagaimana? Boleh jawab semua?" tanya seorang lelaki Arab Mesir kepada kawannya yang muncul dari belakang. Pertanyaan diaju dalam Bahasa Arab Asli (Fushah) kerana kawannya bukan orang tempatan. Kulit putih pucatnya menunjukkan dia mungkin berasal dari sekitar Turki dan negara yang -tan -tan. Memakai seakan songkok namun kecil sedikit, tidak memenuhi kepala. Comel pula bagi lelaki 30-an sebegitu.
Kawannya itu membalas, "Soalan satu dan dua sahaja yang boleh aku jawab. Soalan ketiga susah. Boleh jawab sikit-sikit. Kau?"
“Entahlah. Aku pun tak pasti kenapa doktor keluarkan soalan jarang begini. Aku yang Arab pun rasa susah, inikan pula kau.”
Mereka berada sangat hampir dengan saya. Maka saya dengar dengan jelas apa yang mereka bualkan. Tambahan, saya sudah tidak mampu nak baca apa-apa. Tepu. Cuma haraplah tidak seperti abang kulit pucat yang tidak mampu menjawab soalan ketiga.
"Sedih juga tidak mampu jawab tadi!"
"Alhamdulillah… alhamdulillah!"
Saya mengerling kepada si Arab Mesir. Cukup untuk membuatkan saya lega dengan respons dia dalam keadaan gawat begini. Inilah Arab dengan perangai pelik mereka. Datanglah susah bentuk macam mana sekalipun, 'alhamdulillah' juga meniti di bibir mereka.
Kawan saya muncul tiba-tiba dari pintu pagar. Selepas lebih setengah jam saya tunggu.
Dengan tersenyum - mungkin kerana sedar dirinya lewat, dia bertanya, "Maaf lambat. Jadi, bagaimana? Okey tak... nak jawab periksa dalam kelam kabut ni?
"Alhamdulillah... alhamdulillah!” pekik saya di tengah kekusutan Arab, meniru lagak si Arab Mesir.
Walau dalam kepala, apa pun tidak ada.


Comments

Popular Posts