SKETOT : Bukan kita yang beli



*SKETOT : Sketsa Kontot 

“Ana dah kata, habiskan semua barang makanan yang dibawa dari Malaysia. Habis tarikh luput nanti kalau biar tak habiskan”  kata Najmi kepada kami, ahli serumahnya.

Kami memandang sesama kami sambil memerhatikan Najmi menuang milo untuk dibancuh. Banyak juga yang dituang memandangkan hasratnya untuk membuat ‘milo tabur’. Kami membiarkan sahaja kerana kami juga yang akan minum nanti.

“Pal, rumah lama anta dulu banyak benda tak habis kan? Ana ada masa antum selongkar kotak barang makanan. Banyak yang tak habis”

Pal adalah saya dan saya hanya mengangguk.

“Kenapa tak beli banyak milo masa balik sini. Bukan selalu balik Malaysia” kata Aqil

“Mahal syekh, tak larat nak bawak banyak-banyak. Mana nak korek duit?” jawab Qatadah yang terasa kerana dia yang baru pulang dari Malaysia.

“Tau, tapi bawak je lah.. tapi…” semua memandang Aqil sambil menghirup milo tabur yang siap dibuat oleh Najmi. “betul lah. milo memang mahal”

Sebab bukan semua orang rasa milo memang mahal. Lagi-lagi anak yang tidak biasa melihat tanda harga. Tahu angkut plastik hijau yang paling berat bertulis milo dan masuk ke dalam troli. Para ibu sahaja yang tahu harga milo berapa.

“Sebab bukan kita yang beli” sambung Aqil. 

Saya mengulang sambil tersengih panjang. “Bukan kita yang beli”  

Yang lain sudah beralih ke topik lain dari topik milo yang mahal ke topik harga milo di pasaran. Memang mahal harga milo di kedai mamak walaupun kita tahu mamak hanya banyak tambah gula banding milo. Milo tabur tambah lagi 50sen. Tambah merana bagi yang menetap di Selangor, kuala Lumpur, dan paling malang tentu sekali saya yang menetap di Putrajaya.

Saya masih di topik ibu dan milo. Terkenang saat menjatuhkan milo, bancuh milo ais menggunakan separuh paket milo dan minta ibu mahu lebih milo tanpa kita tahu harga sepaket milo itu berapa.

Kalau tahu mahal, tidak akan aku minum milo sebanyak itu. Banyak hutang pada ibu. 



Selamat hari ibu.  


Comments

Popular Posts