Kolam Mandi Air Paneh!


kanak-kanak semua ni! :)


Suhu di dinding kolam tertulis 40 hingga 45 celsius. Kami empat keluarga belah emak yang bercuti di Felda Sungai Klah, Sungkai seakan tidak melihat bacaan suhu yang tertera. Lebih tepat, kami tidak tahu apa rasa 40 celsius. Adakah 40 celsius itu panas? Panaskah?


"Masuk perlahan-perlahan.. masuk betis lepas ini masuk peha.. huh.. perlahan-perlahan.." Ngah memotivasikan dirinya. Kami yang lain sekadar memasukkan kawasan bawah buku lali sahaja. Memang panas sangat. Nah, baru tahu 40 celsius bagaimana.


Saya cuba juga masuk. Saudara saya, Hafiz juga cuba masuk. Melihat kakak saudara saya juga masuk, kami juga mesti mahu cuba. Ah! keluar balik. Panas!


"Yang jantan masuk, apa tak berani. Buang dua biji tu nanti!" entah dari mana suara itu datang. Suara tipikal lelaki setengah abad.


"Apa yang takut sangat, masuk laju-laju. Bila panas, oksigen jadi ringan dan akan pergi atas. Belah atas sahaja yang panas, bawah sejuk"


Kami berkerut. Betul ke pakcik?


"Pakcik yang buat felda ni dahulu, antara peneroka di sini. pakcik yang korek lubang air panas ni semua" kata beliau


Kami seluruhi pakcik setengah abad itu. Saya percaya hampir semua kata-kata beliau kerana kulitnya yang hitam legam dengan gaya penuh yakin. Kami diberi penerangan percuma hari ini. Terjerit-jerit beliau menyebut tentang sains air panas serta khasiat air panas. Malah, sempat pula dia mengutuk rakyat Malaysia yang pergi kolam air panas di singapura dan jepun.


Dia menuju ke arah kami, saya dan hafiz. Saya sudah mula syak sesuatu.


"Takkanlah orang lain boleh masuk, kita tidak boleh masuk? kenapa kita tidak boleh masuk" dia masih menjerit sambil  menolak saudara sebelah saya. Terkejut saudara saya dibuatnya.


"Kita orang melayu, mesti berani. Orang lain boleh buat kenapa kita tidak boleh buat?"


Menjadi darah orang melayu adalah kita memang pantang dicabar. Sudahlah awal-awal tadi dicabar kejantanan. Kini dicabar pula kemelayuan kami. Memang tidak teragak-agak saya masuk ke dalam kolam air panas 40 celsius itu.


"Kenapa orang melayu takut sangat. Sebab itu kita kalah dengan bangsa lain. Terlalu takut untuk sakit dan mencuba benda baru. Bagaimana ingin menang ekonomi kalau mandi air panas pun takut!"


Kata-kata beliau membuat saya terbakar. Atau lebih tepat melecur sebenarnya. Jika tadi saya tertahan-tahan untuk masuk, tetapi sekarang hanya tinggal kepala sahaja yang yang tidak dimasukkan ke dalam air. Sebahagian saudara saya juga turut ikut masuk ke dalam kolam. Ternyata sedap tak terkata.


Kami keluar setelah jantung berdegup kencang seperti orang berlari 10 Kilometer. Badan saya berpeluh dan kepala pening seakan mahu pitam. Tidak sangka kesannya sebegitu rupa.


"Lain kali, sapu sekali dengan alga ini. Tengok kakak kamu, putih berseri tak perlu pakai SK-II"


Memang pun, rupanya kakak saya sahaja yang bertukar rupa. Dia termakan kata-kata pakcik yang menyuruh menyapu mukanya dengan alga yang diambil dari kolam.


"Tak perlu pakcik, orang melayu sudah hensem, tak perlu alga-alga ni!" seloroh saya sambil memuji-muji pakcik yang hitam legam itu.



  

Comments

Popular Posts