Makan-Makan Merdeka
![]() |
Sebab, kita merdeka bukan macam burung. Kita ada Tuhan ikat kita |
Kami membuat keputusan untuk keluar rumah dan pergi mencari makanan memandangkan eletrik yang tiada lagi-buat kali ke lapan belas untuk minggu ini. Tambah memeritkan, kami baru sahaja selesai program dan ketika itu perut memang sudah berbunyi kuat. Tiada air dan tiada eletrik, kami membuat keputusan untuk keluar.
Dengan jumlah 2 pound, kami sampai ke tempat yang bersama setujui
untuk pergi. satu pound dari Enppi menuju Syare' abas aqod dan menukar jalan
menuju ke City Star melalui Syare’ Maqrom. Sebenarnya sebelum memutuskan untuk
pergi ke mana, kami berselisih. Ada yang memberi pandangan, tidak sesuai pergi
ke tempat seperti City Star kerana kami baru sahaja selesai berprogram. Tidak
sanggup kami kehilangan input dua hari untuk pergi ke tempat seperti itu hanya
untuk menjamah.
Namun akhirnya ke situ juga kerana di situ sahaja tempat yang ada
minuman serta makanan. Kecuali gerai asia, kedai arab memang tidak menyediakan
minuman.
"1000 kali istghfar sebelum pulang dari City Star!" Saya
mengingatkan ahli rumah kami ketika sampai di City Star. Memang, seribu kali
pun tidak cukup. Gila betul bawa bujang lima orang ini pergi ke City Star pada
malam selesai program. Cari nahas namanya!
Nahas pakaian arab dan perempuannya. Rasanya anda serba maklum
City Star itu apa tempatnya. Jika pergi untuk melihat yang 'lain rupanya', maka
di sinilah tempatnya. Jika berpeluang, yang kuning rambutnya juga ada di
sini.
Foodcourt di bawah penuh, saya mengajak mereka
ke atas. Mungkin lebih lengang rasa saya.
Tekaan saya separa meleset. Masih juga penuh, tetapi kami dapat
juga meja di tengah kesibukan arab. Cuma berbanding di bawah, foodcourt di bahagian atas kurang
pilihan.
Memerhati sekeliling
Saya memerhati sekeliling. Pertamanya memerhati apa yang saya
ingin makan malam ini. Target locked! Dalam tiga-empat pilihan malam ini, saya
memilih untuk makan yang itu. Lagipun, kedai itu tidak sesak berbanding lain.
Keduanya, saya melihat arab di sekeliling. Malam itu, saya amati
arab yang bersesak-sesak itu, apa yang mereka pakai dan apa yang mereka makan
dan apa yang mereka bualkan. Entah mengapa, mungkin kerana dalam kepala ini
terlalu banyak benda yang difikirkan atau mungkin rasa cakna dalam diri yang
terlalu kuat hasil dua hari berprogram, muncul rasa ‘lain macam’ pada arab yang
lalu-lalang di situ.
Lima orang sudah berada di meja bersama makanan masing-masing.
“Pelik betul lihat arab Mesir ni. Macam tiada apa yang berlaku di
negera jiran sebelah mereka. Apa yang mereka fikir?”
Rupanya, bukan saya sahaja yang ada rasa sebegitu. Lima orang lain
juga tentu perasan tahap sensitiviti arab mesir pada negara jiran mereka.
“Apa yang mereka fikir ya, berseronok sakan di sini?” satu soalan terakhir
dilontarkan sebelum satu suapan dijamah menghilangkan lapar perut yang berbunyi
semenjak petang tadi.
Negara kau merdeka?
Melihat arab yang sangat gembira bersama kawan, keluarga dan
makanan mereka, pasti akan menimbulkan satu perasaan jelik dalam hati. Apa kau
tidak rasa apa-apakah? Apa kau tidak tahu apa terjadi di negara sebelah kau?
Kami beredar dari meja menuju ke tingkat bawah untuk pulang. Ingin
sahaja kami mengambil makanan lebihan dari meja arab yang makan sebelah kami.
Seolah tidak diusik sahaja makanan itu, tetapi tidak mengapalah. Kami tidaklah
terlalu lapar. Lagi-lagi, di luar City Star nanti kami akan minum-minum gelas
besar tebu. Kenyanglah nanti.
Sempatlah menyinggah di kedai-kedai yang ada di dalam City Star. Alang-alang
menyinggah, tak salah menjenguk sekadar di tingkap.
“Rasa seperti apa yang kita dengar masa program dua hari ini tidak
realiti lansung. Memang terasa mustahil nak mengubah dunia dengan umat yang
sebegini ramai, yang rasa seperti merdeka tetapi dijajah teruk..” kata salah
seorang dari kami sambil menunjuk-nunjuk arab mesir yang ramai itu, sebelum
menyambung.
“Apa kita boleh buat?”
Saya memerhatikan sahaja kawan saya yang berada di dalam kedai
Apple. Soalan itu saya dengar sahaja, soalan praktik.
“Sebab tak merdeka diri, itu yang tak merdeka negara.” Saya
menjawab dan saya kembalikan dengan soalan.
“Kau agak, mana dulu? Merdeka diri dan individu dahulu atau merdekakan negara baru merdekakan orang dalam negara? Atau automatik jika
kita merdekakan negara, semua yang ada dalam negara diiktibarkan sebagai individu
yang merdeka?”
Pandangan kami teralih pada kawan kami yang kembali dari kedai. Dia
berlenggang kerana tidak membeli apa-apa. Yang berada bersama saya, sekadar
mengangkat kening dan ada juga senyum nipis. Jawapannya maklum kerana itu
mereka senyum.
Semua setuju untuk pulang selepas menjenguk beberapa buah kedai
juga kerana tiada hajat lagi di situ.
Mungkin juga kerana kami tidak tahan dengan kejelikan arab yang
ketat-ketat pakaiannya dan tidak merdeka pemikirannya. Mungkin…
Syare tohir gazairi
Comments
Post a Comment
Jemput kritik!